Kembali Bekerja Setelah 6 Tahun Tinggalkan Dunia Pekerjaan. Ini Cerita Aku...

Sehiris Peria, Secawan Madu. Yang Pahit Akan Manis Jua Akhirnya…

Assalamualaikum hai para pembaca. 


Tahun ni usia aku dah 35 tahun, InsyaAllah panjang umur tahun depan 36 lah nampaknya. Tua dah.

Alhamdulillah, dengan izin Allah, pada usia ini aku berjaya dapat kerjaya idamanku setelah bertahun-tahun usaha.

Perjalanan karierku nampak je indah, tapi sebenarnya macam-macam dah aku lalui. Perjalanan yang berliku, tak macam sesetengah orang, lepas grad terus bekerja dalam bidang yang diminati. Ahh, lain orang lain perjalanannya kan?

Biar aku cerita dari awal supaya korang faham isi karangan kalini. Aku cerita bukan setakat nak korang baca, tapi ada pengisian yang aku nak kongsi…


Cita-cita Tak Kesampaian

Seperti kebanyakan pelajar aliran sains, cita-cita sis zaman belajar dulu semestinya nak jadi doktor hehe. Zaman tu kerjaya doktorlah yang popular dan diharapkan oleh kebanyakan mak pak. Akur dengan kehendak ibu, aku memang dah set otak “Nak jadi doktor, nak jadi doktor.”

Result SPM dah ok, masuk matrikulasi result teruk. Long short story, impian nak jadi doktor musnah, akibatnya aku hilang arah. Tak tau nak jadi apa di masa hadapan. So terima jelah apa je tawaran kursus yang dapat pun untuk pengajian ijazah sarjana muda di IPTA.

Aku terfikir untuk masuk bidang Mass Comm memandangkan itu je yang aku rasa sesuai dengan aku sebab suka bercakap kan. Tapi bila apply, tak dapat haha. End up aku dapat kursus Pengurusan Harta Tanah. Jauh gilaaaaa dengan impian dan harapan aku.

Mula-mula masuk universiti awam di selatan tanah air, hampir tiap malam aku menangis sorang-sorang atas katil mengenangkan cita-cita yang tak kesampaian, namun apakan daya. Nak belajar Medic pakai duit sendiri tak mampu makanya aku teruskan je la belajar dalam kursus yang diberi.

Alhamdulilah walaupun kurang minat, berjaya juga aku dapat dekan beberapa kali hihi, tapi waktu tu aku memang dah plan nak sambung belajar (master) juga dalam bidang Mass Comm. Aku akan buktikan yang aku layak one day, itu matlamat aku time tu. 


Sambung Belajar

Selesai pengajian ijazah sarjana muda, ku gigihkan diri sambung belajar Master in Mass Comm. Tanpa sebarang basic dalam bidang ni, Alhamdulillah aku berjaya yakinkan pensyarah-pensyarah sewaktu ditemuduga untuk belajar, supaya aku diterima. Semuanya disebabkan minat semata-mata.

Maka bermulalah kehidupanku sebagai pekerja dan pelajar waktu tu. Siang kerja (nak kumpul duit nak kawen hehe), malam kelas.

Dalam pada tu, aku cuba cari kerja dalam bidang Mass Comm juga, so aku apply kerja sebagai Broadcast Journalist untuk sebuah production house. Aku tinggalkan kerjaya sebagai Space Planner dengan basic yang boleh tahan waktu tu, untuk kerja dengan syarikat pembikin kandungan TV Islamik ni walaupun gaji agak kecil. 

3 bulan kerja sambil belajar, weekend dan public holiday pun kena kerja, hari-hari kerja lebih masa, nak cuti susah, gaji ciput takde OT, habis shooting semua episod— last-last dorang buang aku atas pelbagai alasan tak munasabah dan tak mahu bayar gaji bulan ketiga. Ohh, sebelum aku ramai lagi budak lain yang dah terkena, rupa-rupanya itu modus operandi dorang. 

Sedar diri ini tertipu, aku bawa kes ke pejabat buruh. Alhamdulillah, nasib aku baik sebab sempat kumpul bukti dan berjaya menang kes. Bab ni nak cerita panjang, tapi inilah dia antara cabaran aku hadapi awal-awal ceburi bidang media dulu. Masuk bidang kerjaya yang lebih rendah gajinya, kena tipu pulak… Nak sangat kan, hadaplah haha.


Semakin Stabil

Rezeki nak kahwin agaknya, Alhamdulillah keluar dari syarikat penipu tu dengan berbekalkan kefasihanku berbahasa Inggeris, aku dapat bekerja sekejap di syarikat penerbitan buku dan seterusnya di Astro sebagai Eksekutif Penyelidik. Senang kata, aku buat research untuk saluran TV dorang dan di sinilah aku dapat pengalaman bekerja yang sebenar, seronok dan stabil. Dengan rezeki kerjaya ni lah aku dapat habiskan pengajianku, dirikan rumahtangga, dapat beli aset dan bina kehidupan bersama yang tersayang. 


Yang Dikejar Tak Dapat, Yang Dikendong Berciciran

4 tahun bekerja, aku mula rasa nak upgrade diri sebab dah start bosan buat rutin kerja yang sama. Aku teringin nak buat kerja lain atau terlibat dalam mana-mana projek, tapi tak diberi peluang. Dah usaha tapi masih tak dapat, menyebabkanku membuat keputusan besar yang sangat memberi impak kepada perjalanan hidup aku sampai ke hari ini— aku berhenti kerja untuk sambung belajar ke luar negara. Waktu tu mentah lagi kan, nak upgrade diri hanya terfikir sambung belajar je, sempit juga pemikiran aku time tu haha, so berbekalkan istikharah dan instict yang begitu kuat untuk resign, aku resign.

Suami support keputusan aku sebab waktu tu aku ada bisnes online yang agak menguntungkan tapi ibulah insan yang paling marah bila dapat tau. Agaknya dia dah sumpah seranah aku ke apa, lepas aku resign hidup aku terus jadi haru-biru maka berhuhu lah kami suami isteri, huhuuu…
Perancangan asalku adalah: study oversea, apply scholarship sambil teruskan bisnes untuk support kehidupan kami di luar negara nanti. 

Namun kita manusia hanya merancang, Allah jua yang menentukan… Setelah banyak emel permohonan ku hantar kepada banyak universiti luar negara, akhirnya dapat juga offer study dari Netherlands, tapi biasiswa tak dapat. Kebetulan waktu aku dapat offer study tu, kerajaan umumkan tiada lagi biasiswa MARA atau JPA untuk pelajar pasca ijazah sepertiku untuk ke luar negara. Kalau ada pun susah nak dapat untuk kursus yang ku pilih. Aku tak putus asa, aku tetap cuba dapatkan yang lain, link ni kisah antara biasiswa yang aku pernah di shortlisted kan. 

Selama 4 tahun ku menanti, dalam tempoh tu setiap tahun aku cuba apply mana-mana biasiswa yang dibuka di dalam dan luar negara namun bukan rezeki aku nampaknya. Bab ni nak cerita sedih sangat, so aku akan skip.

Anyway, dalam masa yang sama, macam-macam juga usaha aku lakukan nak kembangkan perniagaan dan tingkatkan sales, so aku turut belajar sendiri teknik photoshop, teknik buat marketing, teknik FB, borong kain sampai ke negara seberang dan buat baju dan sebagainya. Segalanya ku lakukan sendiri sebab tak mampu bayar pekerja so memang 100% hands on. 

Haaaa.. Di situ aku perasan sesuatu. Rupa-rupanya di sinilah ku temui potensi diri sendiri…


Bakat Terpendam

Dalam pada aku berniaga dan usaha untuk dapatkan biasiswa tu aku mulai perasan yang aku mempunyai minat yang mendalam terhadap aktiviti membuat kandungan. Aku mudah belajar benda-benda teknikal berkenaan penggunaan software atau media sosial secara kreatif dan lebih minat jadi orang belakang tabir buat contents berbanding buat sales (which dua-dua aku buat sendiri). Aku sukakan reaksi orang apabila aku share contents di media sosial, lagi-lagi jika melibatkan kandungan yang kreatif. So dari situ aku mula berjinak-jinak buat blog ni dan turut menjadi penulis part-time untuk sebuah blog hiburan dan informasi, secara suka-suka walaupun bayarannya tak seberapa. 

Aku juga mula membuat video untuk YouTube dan ada antara kandungan channel ku menjadi viral sehingga mempunyai followers yang membolehkanku menerima sedikit income dari sana. Maaf buat masa ni biarlah aku rahsiakan nama channel tersebut hehe. Selain itu, blog ni juga turut menyumbangkan sedikit pendapatan kerana dah boleh tayangkan iklan dari Google Adsense disebabkan sokongan para pembaca sekalian, maka inilah juga antara pendorong untuk aku terus melibatkan diri dengan kerja-kerja membuat kandungan. 


Peluang Demi Peluang

Sebelum tu, aku pernah juga mendaftarkan diri di sebuah laman web luar negara untuk menjadi translator (penterjemah) untuk Eng-BM tapi tak pernah dapat job pun.

Tapi pada suatu hari, dalam tempoh aku berniaga-menulis part-time tu, aku dihubungi oleh satu syarikat linguistic dari luar negara. Dorang minta aku melakukan tugas mudah, iaitu rekod suara mengikut ayat yang diberi. 

Nampak macam scam kan? So aku buat research betul-betul tentang syarikat tu dan dapati client mereka adalah Google dan syarikat linguistic & AI (artificial intelligence) tersebut memang beroperasi secara sah dan mempunyai rekod cemerlang mengupah pekerja dari rumah di seluruh dunia. Maka aku buat jugalah tugas simple tu dan Alhamdulillah dari situ dorang offer untuk jadi wakil translator BM dorang kat Malaysia untuk dorang setelkan projek suara tu. 

Kat sini aku bersyukur terima job tu sebab dibayar dalam USD dan seterusnya diberi peluang bekerja dengan dorang secara dari rumah mengikut projek. Ada masa aku jadi transcriptionist untuk dorang, ada masa sebagai pengutip data. Korang jangan salah faham pula, aku bukan jadi pengintip ke apa tau, aku cuma membantu dorang untuk membolehkan teknologi AI yang digunakan di internet memahami bahasa Melayu. Sebab tu lah ada teknologi Google translate yang korang dok pakai nak translate English tu, kalau tak jenuhlah korang nak kena bawa dictionary ke hulu ke hilir. Dan sebab itulah juga dah ada subtitle kat YouTube, itulah yang dilakukan oleh transcriptionist part time seperti aku ๐Ÿ˜Š

Maka bertambah lagi kerja aku sampai aku dah move on dan malas dah nak teruskan pencarian biasiswa, sudahlah offer study pun dah tamat, so aku nak teruskan kehidupan jela seperti biasa. Malas aku nak terus bersedih patah hati ๐Ÿ˜‚


Mula Bekerja Semula Selepas 6 Tahun Bekerja Sendiri

Yessss! Alhamdulillah dengan izin Allah yang Maha Berkuasa, aku secara tak sengaja dapat offer bekerja dengan sebuah syarikat GLC (government-linked company)  secara kontrak. Waktu aku menghadiri virtual interview dan dapat offer tu, aku sebenarnya sedang bercuti bersama keluarga di Cameron Highlands. Menggigil sampai berselimut aku bila dorang call dan nyatakan gaji time tu, sampai tahap pipi aku bengkak disebabkan terlalu menggigil (gigi bongsu sakit time tu, so menggigil telah menerukkan keadaan๐Ÿ˜‚).

Oh untuk pengetahuan korang, aku dah berusaha cari kerja tetap sejak 2 tahun sebelum tu dan telah menghadiri lebih kurang 10 atau lebih sesi temuduga. Syarikat kecik, besar, PAC kerajaan, semua tolak aku mentah-mentah. Mana tak terkejut aku bila dapat offer kerja dengan syarikat gah seperti GLC ni walaupun sekadar kontrak! 

Menurut pemerhatianku: pengalamanku berniaga, menulis dan terlibat dengan projek teknologi artificial intelligence tu merupakan antara sebab aku terpilih sebagai content developer di sana sebab projek yang diberi merupakan gabungan  ketiga-tiga elemen tersebut. 

Namun ku harapkan panas berpanjangan, akhirnya hujan di tengahari. 

Projek kami dihentikan atas faktor dalaman, maka dengan itu, kami kontraktor-kontraktor pun turut ditamatkan perkhidmatan. Alangkah kecewanya aku tapi hidup perlu diteruskan betul tak? Waktu tu aku memang betul-betul frust, tak faham kenapa macam susah sangat aku nak dapat kerja tetap. Bukan tak usaha, aku dah pun usaha untuk kekalkan jawatanku di situ dengan berkhidmat di jabatan yang kekurangan kakitangan, tapi rezeki ku setakat itu sahaja. Tapi aku redha. Aku fikir, mesti ada hikmahnya. 

Suamilah penguat semangat waktu tu. Katanya, gunakan pengalaman kerja 6 bulan di syarikat GLC tu untuk dapatkan kerja lain pula.

Aku cutikan minda untuk beberapa hari. Aku hiburkan diri buat perkara-perkara yang aku suka. After few weeks, aku mulakan pencarian kerja.


Hikmah di Sebalik Perjalanan yang Berliku

And you what? 
The first job that I applied and accepted was my dream job!

Percaya tak?

Waktu mula-mula apply aku tak terfikir pun untuk dapat jawatan ni memikirkan syarikatnya yang gah dan job scope yang kelihatan sangat mencabar. 

Aku takkan nyatakan nama syarikat tersebut untuk menjaga privacy diri, tapi waktu muda-muda dulu pernahlah berangan nak kerja di syarikat ni tapi tak pernah dipanggil untuk temuduga pun haha. 

Aku katakan ‘dream job’ sebab tugasan ku di sini merupakan perkara-perkara yang sangat ku minati dan merupakan doaku selama ini:

“Ya Allah, kurniakanlah kepadaku pekerjaan yang sangat-sangat ku minati, yang sangat aku suka, rakan sekerja yang baik dan menyenangkan, bos yang sangat baik dan memahami, dengan gaji yang bagus, yang sesuai dengan keupayaanku dan tempat kerja yang best dan menyeronokkan.”

Ya, ini lah doaku sewaktu dok mohon kerja lepas kena berhenti dari GLC tu haritu. 

Dengan izin dan rahmat Allah, juga doa dari ibu bapa, keluarga dan rakan-rakan terdekat; semua ciri-ciri di atas Allah makbulkan. Ya Allah, aku tak tau nak ungkapkan macam mana happy nya waktu terima tawaran kerja ni!

Sebab nak dapat pun bukannya senang. Aku berentap dengan lebih 500++ resume pemohon lain tak termasuk resume pemohon dalam syarikat tu sendiri sedangkan hanya seorang sahaja yang mereka perlukan, aku terpaksa jawab soalan-soalan penilaian yang agak sukar sebanyak 2 kali dan juga temuduga sebanyak 2 kali. Rakan-rakan sekerja pun pelik macam mana aku boleh dapatkan jawatan ni sebab internal katanya ramai yang mohon juga. 

3 bulan menanti dan sepanjang tempoh tu hampir setiap hari aku berlatih dengan suami untuk menghadapi temuduga. Nervous tu jangan cakaplah, sebab lama sangat tunggu kan, so tidur pun kadang-kadang terganggu.

Alhamdulillah, walaupun tak dapat sambung belajar dan terpaksa lalui pengalaman jobless, biz online yang begitu mencabar, bekerja sendiri yang bagi aku amat memeritkan; tapi akhirnya baru aku sedar rupanya ia juga merupakan satu penantian yang berbaloi, yang merupakan hikmah di sebalik kesulitan.

Dari waktu Allah bukakan hati aku untuk berhenti kerja di Astro tu rupanya Allah dah lorongkan aku ke arah pekerjaan yang jauh lebih bagus dari expectation aku. Dan pekerjaan kalini memerlukan kesemua pengalaman belajar dan kerjaku seawal zaman sekolah dulu (bidang sains), zaman universiti (hartanah) dan kerjaya terdahulu (media, perkhidmatan, kajian, teknologi). Maknanya, kesemua ilmu dan pengalaman yang telah ku lalui sebelum ini rupanya diperlukan dalam kerjayaku sekarang, jadi kini aku nampak hikmah jatuh bangunku dahulu.

Bagi aku, pekerjaan ni umpama perkahwinan, kalau boleh nak stay lama. Nak stay, kau kena betul-betul sukakan pekerjaan tu supaya dapat bekerja lebih masa (jika perlu) dengan ikhlas yang seterusnya membawa kepada rezeki yang berkat.


Moral of the Story

Aku harap tiada antara pembaca yang salah faham atas perkongsianku di sini ya. 

Bagi aku, bila aku lihat kembali perjalanan kerjayaku yang berliku ni, ada banyak pengajaran yang kita semua boleh belajar. Ni pun peringatan untuk aku juga:

1- Jangan putus asa.
Kita sebagai manusia kadang-kadang mudah sangat berburuk sangka dengan ujian Allah. Aku sendiri tak terkecuali, ada masa terkesan juga. Ye la sebelum ni nak sambung bidang perubatan tak dapat, nak sambung belajar di luar negara tak dapat, nak bekerja semula berpuluh resume ku hantar & banyak temuduga dah attend tapi semuanya gagal. Nak kerja kerajaan pun tak dapat…
Tapi kekuatan tu Allah jua yang beri, Alhamdulillah dengan izin Allah aku dilorongkan ke jalan yang betul. Aku tak rasa aku bijak, tapi semua keputusan yang aku buat sebelum ni aku fikir semuanya disebabkan ilham daripada Allah maka janganlah kita sesekali buruk sangka & putus asa. Allah dah janji akan berikan ganjaran pada mereka yang bersabar.

2- Usaha Secara Mental, Fizikal dan Rohaniah
Mak mertua aku selalu pesan: kita hidup ni kena ada ‘isi’. Aku pegang kata-kata tu sebab suami selalu ingatkan. Ada isi tu maknanya usaha jugalah secara rohaniah dalam apa jua perkara. Nak pilih benda best? Doa. Nak dapatkan sesuatu walaupun mustahil? Doa. Nak dipermudahkan urusan? Doa. 
Tapi sebelum tu of course kena usaha juga. Doa je mana cukup kan. Allah suka pada mereka yang berusaha dan bertawakkal sepenuhnya kepada Dia. Maka usahalah. Kalau perlu upgrade ilmu, silakan. Jangan ketinggalan dengan arus teknologi. Kalau perlu belanja duit untuk upgrade ilmu dalam diri, jangan kedekut. Anggap ia sebagai pelaburan. Lepas tu doalah puas-puas. Serahkan segala urusan pada Allah Yang Maha Bijaksana.

3- Redha
Redha tak semestinya pasrah tanpa berbuat apa-apa. Redha maksud aku, kalau kau dah berusaha sedaya-upaya tapi hasil tak seperti yang kau harapkan, redhalah. Muhasabah diri. Sesungguhnya Allah lebih tau apa yang terbaik untuk diri kau. Kita ni kadang fikir nak ini, nak itu tapi belum tentu itu yang terbaik untuk kita. Terima ketentuan takdir yang Allah dah tetapkan tapi pada masa yang sama usaha untuk perbaiki kelemahan diri. 

4- Jangan Pandang Enteng Terhadap Doa Ibu Bapa dan Anak-anak
Yaaaa kawan-kawan. Ini juga antara yang aku tak berapa ambil berat dulu. Biasanya kalau aku dapat call for interview aku tak pernah pun bagitau ibu ayah aku sebab nak buat surprise hehe. Muda-muda dulu senang juga nak dapat kerja, dah 30-an ni, dengan pandemic lagi, struggle nya ya Allah. Aku selalu dengar orang kata doa mak ayah tu penting, haaa… kalini aku minta sungguh-sungguh pada ibu ayah aku, doakan aku dapat kerja idaman tu. Anak-anak pun sama, hari-hari aku ingatkan dorang untuk doakan ibu dorang ni. Anak-anak kan suci tanpa dosa, so janganlah korang underestimate the power of their prayers, Allah dengar doa dorang. Layan anak korang baik-baik dan mintalah dorang doakan untuk korang sebagai salah satu usaha.

5- Perbetulkan Niat
Waktu aku nak sambung belajar tu aku pun kurang pasti apa niat aku. Betul nak belajar ke? Betul nak jadi lecturer ke? Ke saje nak belajar ke luar negara? Atau setakat nak gelaran doktor PhD? Aku muhasabah diri kat sini. Bila ku fikir-fikir kembali, kesian pada ibu ayahku. Dorang banyak belanja untuk aku belajar dulu. Aku pula belum cukup bahagiakan dorang dengan gaji sendiri dulu sedangkan ada masa dorang masih perlukan bantuan aku walhal aku dok sebok sangat dengan cita-cita yang tak kesampaian tu. Aku betulkan niat balik— niat nak kerja semula untuk bantu dorang, bahagiakan dorang sementara masih ada peluang, bawa dorang jalan-jalan, berbakti puas-puas kat ibu ayah dan mertua serta anak-anak. Alhamdulillah aku perasan bila ada niat macam ni InsyaAllah Allah permudahkan. Pengajaran untuk diri aku sendiri. 

Mahal pengajaran yang aku terpaksa belajar huhu… Diharapkan ceritaku ini dapat memberi sedikit sebanyak motivasi kat korang yang sedang mencari kerja atau wanita-wanita yang ingin kembali ke alam pekerjaan sepertiku suatu ketika dahulu. 

Kalau ada masa aku tulis pula tips yang aku lakukan untuk kembali bekerja setelah sekian lama tak kerja dalam industri (kerja sendiri). Yang cerita atas ni baru intro, tips aku belum dan nak tulis lagi. Ada waktu senggang nanti aku kongsi tips pula ya.

InsyaAllah, aku harap korang semua berjaya dapat pekerjaan yang diingini :)

Ulasan

  1. betul yanie..apa pon yg jdi dlm hidup ni ada hikmah nya..allah uji dlu lps tu dia bgi yg setimpalnya..aku baca ni aku teringat trus tntg diri sndri..prjlnan jodoh aku kerjaya aku..aku 3 thn apply keje tpi xdpt..mgkin blm rezeki aku..

    BalasPadam
    Balasan
    1. InsyaAllah, Allah tau apa yg terbaik utk ko Shu. Jangan putus harapan, teruskan usaha, doa & tawakkal. Setiap ujian pasti ada hikmahnya & setiap mendung pasti akan ada sinarannya. Good luck beb *hugs*

      Padam

Catat Ulasan

Ikuti Saya

What Do You Think?

Artikel Popular